22 Disember 2009

Enjin pesawat pemintas F-5E

H:Polis sahkan terima laporan kehilangan 2 buah enjin

Oleh:WAN NOR ROSIDA WAN HAMAD

SHAH ALAM - Polis mengesahkan sememangnya menerima laporan kehilangan dua buah enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari gudang simpanannya di Material Udara 1 (Matra 1), Pangkalan Udara Kuala Lumpur, termasuk yang dedahkan media sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis sememangnya menjalankan siasatan berhubung kehilangan kedua-dua enjin tersebut yang masing-masing berharga RM50 juta.

“Kita terima dua laporan kehilangan sekali gus dan sememangnya kita siasat kehilangan bagi kedua-dua enjin itu.

“Apabila media menggembar-gemburkan kehilangan satu enjin, jadi kita sahkan yang itu sahaja lah, tetapi hakikatnya memang terima dua laporan kehilangan daripada pihak TUDM,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media berhubung kehilangan sebuah lagi enjin GE J85-21A digunakan pesawat tempur F-5E milik TUDM itu.

Laporan berkenan mendakwa kehilangan enjin pesawat supersonik yang berpangkalan di Skuadron Ke-12 Scorpion Pangkalan Udara Butterworth itu dipercayai didalangi individu sama yang didakwa terbabit kehilangan enjin pertama tetapi kali ini dijual di sebuah negara di Eropah.

Difahamkan, kehilangan enjin kedua ini dipercayai berlaku kira-kira lima bulan selepas enjin pertama dilaporkan hilang apabila tidak tiba ke destinasi untuk penyelenggaraan ketika dibawa dari Butterworth ke Kuala Lumpur menggunakan kontena kendalian kontraktor dilantik pihak kerajaan.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang akan memulangkan semula fail siasatan kes berkenaan semalam kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut kerana dikatakan tidak lengkap, Musa berkata pihaknya akur dengan perkara tersebut.

“Kita akur dengan arahan berkenaan dan kita akan lakukan yang terbaik,” katanya.



Ends...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan